IPOH 2 Julai 2024 (Selasa) : Pejabat Kewangan Negeri Perak (PKN) telah mengurusetiakan Mesyuarat Jawatankuasa Bayaran Perkhidmatan kepada Kerajaan Negeri kerana penglibatan kakitangan kerajaan negeri dalam melaksanakan Projek-Projek Persekutuan bagi Tahun 2023 Negeri Perak yang telah dipengerusikan oleh YB. Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri di Bilik Gerakan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Mesyuarat turut dihadiri oleh Cik Aida Hazlyn binti Hassan, Timbalan Pegawai Kewangan Negeri; Tuan Mazlan Zurin bin Zulkifli, Timbalan Pengarah Pembangunan Negeri Perak (ICU); wakil-wakil Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
YB Pegawai Kewangan Negeri telah memberikan penekanan terhadap kesegeraan pelaksanaan projek dalam merealisasikan agenda pembangunan di Negeri Perak demi kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, ahli mesyuarat turut membincangkan berkaitan tuntutan bayaran perkhidmatan dalam melaksanakan Projek-Projek Persekutuan bagi Tahun 2023 Negeri Perak. Tuntutan Bayaran Perkhidmatan ini dibuat mengikut peruntukan Perkara 80(5) Perlembagaan Persekutuan.
Mesyuarat ini merupakan satu platform untuk kompilasi, semakan dan perakuan permohonan bayaran perkhidmatan bagi tahun 2023 sebelum dikemukakan kepada Kementerian Kewangan Malaysia.