FAQs Pinjaman
FAQs Pinjaman
PINJAMAN KENDERAAN
1. Apakah dokumen-dokumen yang perlu dikemukakan untuk permohonan pinjaman kenderaan?
Dokumen-dokumen yang perlu dikemukakan untuk permohonan pinjaman kenderaan ialah :-
- Borang Permohonan Pinjaman Kenderaan;
- Salinan kad pengenalan yang diakui sah;
- Salinan lesen memandu yang diakui sah;
- Salinan slip gaji terkini yang diakui sah;
- Sebut harga daripada pembekal atau Sijil Nilaian daripada JKR (bagi kereta terpakai); dan
- Senarai tugas.
2. Apakah kelayakan pegawai bagi membolehkan membuat pinjaman kenderaan?
Kelayakan / Peraturan / Syarat :-
- Jumlah potongan bulanan untuk pembelian kenderaan hendaklah tidak melebihi 1/3 daripada gaji pokok anggota dan jumlah semua potongan gajinya hendaklah tidak melebihi 60% dari jumlah gaji pokok serta elaun-elaun;
- Kadar faedah yang dikenakan adalah sebanyak 4% setahun;
- Skim pembiayaan ini ditawarkan kepada semua anggota Perkhidmatan Awam yang bertaraf tetap atau yang berkhidmat secara kontrak dan dibenarkan membuat pinjaman kenderaan setiap lima tahun sekali dengan syarat pembiayaan terdahulu telah selesai. Bagi pegawai yang dalam tempoh percubaan atau berkhidmat secara kontrak dikehendaki menyediakan dua orang penjamin yang telah disahkan dalam perkhidmatan;
- Pendapatan minimum untuk permohonan pinjaman membeli kereta adalah sebanyak RM1,620 sebulan (kelulusan khas perlu diperolehi bagi gaji kurang daripada RM1,620);
- Surat perjanjian pembiayaan kenderaan adalah dikehendaki disetem secukupnya berdasarkan kepada amaun pembiayaan Kerajaan di mana bagi setiap RM500 atau sebahagian darinya RM2.50 bagi pinjaman secara biasa dan RM10 bagi pembiayaan secara Islam;
- Bagi pembelian kenderaan terpakai hendaklah dinilai dan dikeluarkan sijil nilaian kenderaan oleh Jurutera Kerja Raya Mekanikal;
- Seseorang anggota yang mendapat pembiayaan membeli kenderaan hendaklah menyerahkan resit / invois bagi kenderaan yang dibelinya kepada pegawai yang meluluskan permohonannya dalam tempoh 30 hari selepas cek bayaran diterima beserta nota takaful (cover note) atau sijil takaful kenderaan (komprehensif) dan kad pendaftaran kenderaan untuk "Hak Milik Dituntut Oleh Kerajaan";
- Jumlah pembiayaan tidak boleh melebihi harga bersih kenderaan dan tidak boleh dimasukkan bayaran cukai jalan (road tax), bayaran sumbangan takaful dan lain-lain bayaran tambahan yang berkenaan kepada kenderaan tersebut;
- Harga bersih kenderaan ialah harga kenderaan yang dilulus oleh Kerajaan dicampur dengan cukai eksais, cukai jualan hawa dingin, getah pelapik lantai dan penahan lumpur;
- Selagi pembiayaan belum lagi selesai sepenuhnya:-
- Pegawai hendaklah menyertai takaful kenderaan (komprehensif). Jumlah yang dilindungi yang diambil pada tiap-tiap tahun hendaklah tidak kurang dari baki pembiayaan yang belum diselesaikan; dan.
- Pegawai tidak boleh menjual, memindah hak milik atau menggadaikan kenderaan tersebut tanpa kebenaran khas dari Perbendaharaan.
3. Apakah tempoh maksima bagi bayaran balik pinjaman kenderaan?
Tempoh-tempoh maksima bayaran balik bagi pinjaman kenderaan adalah seperti berikut:-
Jenis Kenderaan |
Tempoh |
a. Kereta baru |
Tidak melebihi 108 bulan |
b. Kereta terpakai |
Tidak melebihi 96 bulan |
c. Motosikal baru - Prinsip Al-bai Bithaman ‘Ajil |
Tidak melebihi 72 bulan |
d. Motosikal terpakai |
Tidak melebihi 48 bulan |
e. Motobot |
Tidak melebihi 48 bulan |
f. Enjin Motobot |
Tidak melebihi 48 bulan |
g. Bot |
Tidak melebihi 24 bulan |
h. Basikal |
Tidak melebihi 20 bulan |
4. Berapakah had pinjaman yang layak dipinjam bagi pinjaman kenderaan?
- Pembelian Kereta adalah mengikut jawatan :
Jawatan |
Had Pinjaman (RM) |
Jawatan Utama dan Jawatan Gred Khas, Timbalan Pesuruhjaya Polis hingga Ketua Polis Negara |
70,000 |
Kumpulan Pengurusan dan Profesional atau Penolong Penguasa Polis hingga Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis |
65,000 |
Kumpulan Sokongan @ Ketua Inspektor polis dan ke bawah |
55,000 |
- Pembelian motosikal RM5,000.00
- Pembelian motobot RM4,000.00
- Pembelian enjin motobot RM3,500.00
- Pembelian bot RM700.00
- Pembelian basikal RM500.00
PINJAMAN KOMPUTER
1. Apakah dokumen yang perlu dikemukakan untuk membuat pinjaman komputer?
Dokumen-dokumen yang perlu dikemukakan untuk permohonan:-
- Borang Permohonan Pinjaman Komputer;
- Salinan kad pengenalan yang diakui sah;
- Salinan slip gaji terkini yang diakui sah; dan
- Sebut harga komputer.
2. Apakah kelayakan pegawai bagi membolehkan membuat pinjaman komputer?
Kelayakan / Peraturan / Syarat:-
- Amaun pembiayaan maksimum adalah sebanyak RM5,000 dan akan dikira kepada angka ratusan yang terdekat;
- Jumlah potongan bulanan untuk pembelian komputer hendaklah tidak melebihi 1/3 daripada gaji pokok anggota dan jumlah semua potongan gajinya hendaklah tidak melebihi 60% dari jumlah gaji pokok serta elaun-elaun;
- Kadar faedah yang dikenakan adalah sebanyak 4% setahun;
- Skim pembiayaan ini ditawarkan kepada semua anggota Perkhidmatan Awam yang bertaraf tetap dan dibenarkan membuat pinjaman komputer setiap 3 tahun sekali dengan syarat pembiayaan terdahulu telah selesai;
- Tempoh bayaran balik adalah tidak melebihi 48 bulan;
- Surat perjanjian pembiayaan komputer adalah dikehendaki disetem secukupnya berdasarkan kepada amaun pembiayaan Kerajaan di mana bagi setiap RM500 atau sebahagian darinya RM2.50; dan
- Seseorang anggota yang mendapat pembiayaan membeli komputer hendaklah menyerahkan resit / invois bagi komputer yang dibelinya kepada pegawai yang meluluskan permohonannya dalam tempoh 30 hari selepas cek bayaran diterima.