Multi Language [EN] [BM]
Peta Laman Portal MyGOV
W3C Disability Accessibility
Senarai Arkib Pekeliling Terkini Berita & Aktiviti Carta Organisasi Soalan Lazim Piagam Pelanggan
Hubungi Kami
Notis Terkini Ketua Pegawai Maklumat (CIO) Buku Belanjawan Tahunan

1.png

YAB Menteri Besar Perak bersama Buku Belanjawan 2026

Bintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktif
IPOH, 25 NOVEMBER 2025- Kerajaan Negeri Perak membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM1.61 bilion, merangkumi RM1.045 bilion perbelanjaan mengurus dan RM568 juta bagi perbelanjaan pembangunan.

Bertemakan ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’, Belanjawan 2026 merupakan belanjawan tertinggi dalam sejarah negeri, dengan tumpuan kepada lima bidang utama: kesejahteraan rakyat; tadbir urus projek berkepentingan negeri; pembangunan modal insan dan belia; kelestarian alam sekitar serta keterjaminan bekalan makanan.
YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak berkata, Belanjawan Negeri Tahun 2026 telah dirangka berdasarkan unjuran Hasil dan Terimaan Pembangunan yang mencecah angka RM1.518 bilion, iaitu peningkatan RM80.0 juta berbanding belanjawan tahun 2025.

Menurut beliau, pecahan komposisi belanja bagi maksud mengurus terdiri daripada emolumen RM496.0 juta, perkhidmatan dan bekalan RM385.9 juta, pembelian aset RM13.9 juta, pemberian dan kenaan bayaran tetap RM143.8 juta serta lain-lain perbelanjaan RM5.9 juta.
"Peningkatan belanja bagi mengurus tahun 2026 telah mengambil kira kenaikan gaji penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang memilih Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) fasa 2 iaitu kenaikan gaji tujuh peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana, dan kenaikan tiga peratus untuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi, berkuatkuasa 1 Januari 2026, selain kadar Kenaikan Gaji Tahunan.
"Selain itu, bagi belanja pembangunan tahun 2026 ditokok dalam jumlah yang besar iaitu RM30.0 juta, peningkatan 5.6 peratus berbanding Peruntukan Pembangunan Tahun 2025," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2026 pada Mesyuarat Ketiga Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Kelima Belas di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
Ujar YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad lagi, bagi fokus kesejahteraan rakyat, kerajaan negeri memperuntukkan RM718.5 juta bagi tahun 2026 iaitu peningkatan RM89.8 juta berbanding Belanjawan 2025.
Tambah beliau, ia termasuk peruntukan mencecah RM32.1 juta untuk melaksanakan empat program kesejahteraan yang sangat akrab dengan kehidupan rakyat marhaen seperti Kad Perak Sejahtera; Jualan Sejahtera Rakyat; Program Bantuan Kotak Makanan dan Jualan Sejahtera Rahmah.
Selain itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM268.08 juta bagi Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri, dengan RM156.9 juta di bawah Maksud Mengurus untuk Pejabat-Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dengan peningkatan RM21.5 juta berbanding 2025, serta RM25.5 juta kepada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri dengan peningkatan RM2.9 juta berbanding 2025.
Turut diperuntukkan RM100.59 juta bagi pembangunan modal insan dan belia, merangkumi Bantuan Khas Pendidikan, Program Back To School, Bantuan Baucer Buku, Program Tuisyen Cikgu Saarani, serta pelbagai inisiatif lain yang menyokong pembangunan ekosistem pendidikan dan pengajian tinggi.
"Selain itu, kerajaan Negeri memperuntukkan RM75.98 juta di bawah fokus Kelestarian Alam Sekitar bagi pemeliharaan alam sekitar demi menjamin kualiti hidup rakyat hari ini dan generasi akan datang.
"Bagi fokus keterjaminan makanan pula, memperuntukkan RM73.06 juta bagi tujuan keterjaminan bekalan makanan, ia termasuk RM30.9 juta disediakan kepada Jabatan Pertanian Negeri Perak, iaitu peningkatan RM3 juta berbanding 2025, manakala RM8 juta pula diperuntukkan di bawah belanja pembangunan," ujarnya.
Pada sesi pembentangan itu, YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad turut mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan gaji kepada penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang akan dibayar bulan Disember.
Ia merangkumi pemberian kepada ahli Ex Officio, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, semua guru lantikan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Negeri, Orang Besar Jajahan serta kakitangan di bawah kontrak MySTEP.

Kredit: Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak

 
Ucapan alu-aluan oleh Encik Megat Amirul Zaini Jamalullail bin Megat Jamaluddin,Bendahari Negeri Perak
TAKLIMAT PENUTUPAN AKAUN AKHIR TAHUN 2025 KERAJAAN NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

Kadar pengguna: 4 / 5

bintang aktifbintang aktifbintang aktifbintang aktifBintang tidak aktif

Bergambar

Ipoh, 13 Oktober 2025 (Isnin) – Taklimat Penutupan Akaun Akhir Tahun 2025 Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan telah diadakan di Hotel Casuarina @ Meru bermula jam 9.00 pagi.

Taklimat ini bertujuan untuk memberi kefahaman dan penyelarasan proses penutupan akaun di semua jabatan dan agensi di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri, selain memastikan ketepatan serta ketelusan rekod kewangan bagi tahun semasa.

Selain itu, sesi ini turut menekankan kepentingan penyediaan laporan kewangan akhir tahun yang lengkap dan teratur, di samping membantu pegawai mengenal pasti serta menyelesaikan isu atau kesilapan transaksi perakaunan sebelum tarikh penutupan akaun. Melalui taklimat ini juga, diharapkan tahap kecekapan dan akauntabiliti dalam pengurusan kewangan negeri dapat terus dipertingkatkan.

Taklimat telah dihadiri oleh YBhg. Bendahari Negeri, Timbalan Pegawai Kewangan Negeri, pegawai-pegawai kanan Pejabat Kewangan Negeri, serta wakil-wakil Pusat Tanggungjawab (PTJ) dari seluruh Negeri Perak.

Program ini menjadi platform penting dalam memperkukuh tadbir urus kewangan yang berintegriti dan berdisiplin, seiring dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan pengurusan kewangan yang cekap, telus dan bertanggungjawab menjelang penutupan akaun tahun 2025.


TAKLIMAT MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI BERKAITAN BELANJAWAN TAHUN 2026 NEGERI PERAK -  YAB. Menteri Besar Perak Pengerusikan Sesi Libat Urus Deraf Belanjawan Negeri 2026

Bintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktif

KUALA LUMPUR, 7 Oktober 2025 – Taklimat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) berkaitan Belanjawan Tahun 2026 Negeri Perak telah diadakan di Hotel Aloft Kuala Lumpur Sentral hari ini.

Sesi taklimat tersebut telah dipengerusikan oleh YAB. Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, dengan tujuan untuk membentangkan deraf Belanjawan Negeri Perak Tahun 2026 serta mendapatkan pandangan dan input daripada YB Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) sebelum pembentangan rasmi diadakan dalam Sidang Dewan Negeri Perak yang akan datang.

Turut hadir dalam sesi berkenaan ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Penasihat Undang-undang Negeri, YB Pegawai Kewangan Negeri, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak, serta pegawai-pegawai kanan dari Pejabat Menteri Besar, Pejabat Kewangan Negeri, Bahagian Dewan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan serta UPEN.

Melalui sesi taklimat ini, Kerajaan Negeri Perak menekankan kepentingan perancangan belanjawan yang inklusif, berimpak tinggi dan berpaksikan kepada keperluan rakyat, sejajar dengan hasrat untuk memperkukuh ekonomi negeri dan memastikan kesejahteraan rakyat Perak terus terpelihara sejajar dengan Pelan Perak Sejahtera 2030.


MESYUARAT JAWATANKUASA MENINGKATKAN HASIL NEGERI (PERINGKAT PENGURUSAN TERTINGGI) TAHUN 2025

Bintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktif

Mesy Hasil Gallery

KUALA LUMPUR, 9 Oktober 2025 – Mesyuarat Jawatankuasa Meningkatkan Hasil Kerajaan Negeri Perak yang diadakan hari ini merupakan mesyuarat tahunan yang menjadi platform utama membincangkan isu-isu strategik berkaitan hasil di peringkat pengurusan tertinggi negeri.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Perak itu turut dihadiri oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, YB Pegawai Kewangan Negeri, serta ketua-ketua jabatan utama termasuk Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, Timbalan Pegawai Kewangan Negeri, Ketua Unit Pelaburan, dan Ketua Unit Hasil.

Dalam mesyuarat tersebut, YAB Pengerusi menekankan kepentingan memastikan hala tuju gerak kerja hasil negeri terus seiring dengan dasar dan inisiatif di peringkat Kerajaan Persekutuan, khususnya dalam memperkukuh pengurusan fiskal dan meningkatkan daya tahan ekonomi negeri.

Sehubungan itu, YAB Pengerusi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua jabatan pemungut hasil negeri, khususnya Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak (PTG), Pejabat Kewangan Negeri Perak, dan Jabatan Perhutanan Negeri Perak yang merupakan penyumbang utama kepada hasil negeri.

Untuk rekod, kutipan hasil Kerajaan Negeri bagi tahun 2024 berjumlah RM1.33 bilion, menunjukkan prestasi cemerlang hasil usaha gigih semua jabatan. Bagi tahun 2025, Kerajaan Negeri menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM1.4 bilion, iaitu peningkatan 12.7% berbanding sasaran tahun sebelumnya.

Sehingga 30 September 2025, kutipan hasil negeri telah mencapai RM1.01 bilion, bersamaan 71.9% daripada sasaran tahunan,“Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Ilahi atas pencapaian awal ini yang menyaksikan hasil negeri berjaya mencecah RM1 bilion sebelum 1 Oktober 2025,” ujar YAB Menteri Besar.

Dalam pada itu, Pejabat Kewangan Negeri kini sedang memuktamadkan anggaran hasil bagi tahun 2026 untuk dibentangkan dalam Belanjawan Negeri Perak 2026 yang bakal diumumkan tidak lama lagi.


YAB Menteri Besar Perak membuat rumusan pada akhir sesi Dialog Belanjawan.
Sesi Dialog Belanjawan Negeri Perak 2026: Platform Inklusif Himpun Pandangan Rakyat

Bintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktif

Ipoh, 30 September 2025 – Pejabat Kewangan Negeri Perak dengan usahasama Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak dan Institut Darul Ridzuan telah mengadakan Sesi Dialog Belanjawan Negeri Perak 2026 bertempat di Kelab Golf Diraja Perak. Sesi bersama Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak Darul Ridzuan iaitu Dato’ Seri Saarani Mohamad telah dihadiri oleh Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Penganjuran dialog ini bertujuan mengumpul pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak berkepentingan, bagi memastikan Belanjawan Negeri Perak 2026 dirangka secara lebih inklusif, berfokus kepada kepentingan rakyat, merangsang pertumbuhan ekonomi negeri, serta menyokong agenda pembangunan mampan.

YAB Menteri Besar dalam ucapannya menegaskan bahawa dialog ini menjadi wadah penting dalam usaha memperkukuh prinsip keterbukaan dan ketelusan kerajaan negeri, di samping memastikan dasar kewangan negeri sejajar dengan aspirasi pembangunan Perak Sejahtera 2030 serta selari dengan agenda nasional Malaysia MADANI.


button_icon